Anda mencari sesuatu...?

Wednesday, June 12, 2013

Artikel Pendidikan Islam




Tag: PKPI2012

    KAEDAH MENGAJAR PENDIDIKAN ISLAM

    KAEDAH MENGAJAR PENDIDIKAN ISLAM: SUATU APLIKASI KEPADA MURID-MURID SAUDARA BARU DI SEKOLAH RENDAH.



    oleh DR RAJIEE HADI & USTAZAH NORUMAZA HASHIM

    PENGENALAN
    Dari perpesktif Islam pengertian proses pengajaran dan pembelajaran( p&p) dalam lslam merupakan segala perubahan atau peristiwa yang berlaku ke atas diri seseorang individu adalah merupakan proses p&p. P& P dalam Pendidikan lslam merupakan satu ibadah dan amanah  kepada guru untuk diberikan kepada murid-murid. Ia merupakan satu-satunya jalan dan teknik bagi manusia untuk sampai kepada kebenaran (hakikat) yang bertolak dari premis tauhid serta tidak memisahkan aspek akal dan jasad sebagai suatu yang bersepadu.

    Pengajaran dan pembelajaran menurut Islam merupakan pembentukan keseluruhan potensi diri individu dengan berlandaskan nilai-nilai  ketuhanan atau rohani supaya manusia  boleh menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi dan sebagai hamba Allah S.W.T yang terbaik. Sabda Rasulullah  S.A.W yang bermaksud “ Tiada pemberian orang tua  terhadap anaknya  yang lebih utama selain pendidikan yang baik” dan “ajarilah anak-anak kamu kalimah La IIaha IIallah ( tiada tuhan melainkan Allah) sewaktu ia mulai berbicara dan ajarlah mereka untuk membaca La IIaha IIalah sewaktu menghadapi kematian.

    2.0 Kaedah  Pengajaran  Berteraskan Pendidikan Menurut Islam.

    Mendidik murid-murid saudara baru perlu menggunakan ilmu yang tepat atau diambil daripada al-Quran dan hadis. Guru perlu mengambilnya sebagai panduan untuk mendidik murid-murid saudara baru mereka. Iman dan takwa adalah asas dalam pendidikan awal murid-murid khususnya murid-murid saudara baru kerana dengan asas inilah Rasulullah S.A.W berjaya mendidik para sahabatnya.

                Murid-murid saudara baru patut diperkenalkan supaya mencintai Rasulullah  S.A.W dan mencintai keluarga baginda. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh At Tabrani daripada Ali bin Abi Talib yang bermaksud ‘ Ajarlah anak-anak kamu tiga perkara, mencintai nabi kamu, dan mencintai keluarganya serta membaca al-Quran. Sebab para pembaca al-Quran  berada di arasy Allah S.W.T bersama-sama  para anbiya’-Nya dan ashfiya-Nya pada hari tiada  naungan melainkan naungan Allah S.W.T sahaja.

    Murid-murid saudara baru juga perlu dibiasakan untuk mentaati kedua ibu bapa dan guru. Perasaan kasih dan takut terhadap ibu bapa dan hormat kepada guru akan menghalang mereka daripada bersikap melawan atau menentang.Guru atau ibu bapa bergaul dengan anak didik mereka hendaklah secara berhikmah dan kasih sayang. Selain itu membiasakan  murid-murid saudara baru  dengan adab susila yang baik sejak mereka masih kecil lagi amat dituntut. Sebagai rujukan asas kepada para pendidik, Allah S.W.T menjelaskan dalam Al-Quran tentang kebijaksanaan Luqman Hakim dalam mendidik anaknya secara berperingkat-peringkat sebagai proses pengajaran dan pembelajaran anaknya.

    3.0  PEMERINGKATAN ILMU ISLAM SECARA UMUM

    3.1  Pelajaran Peringkat  Pertama
    Kebijaksanaan manusia adalah sebenar adalah juga kebijaksanaan Tuhan, ( true human wisdom is also divine wisdom), kedua-duanya tidak boleh dipisahkan . Permulaan bagi semua kebijaksnaan adalah sifat keakuran dan kekuasaan Allah S.W.T. Anak-anak yang baru dilahirkan  ( jika dilahirkan terus daripada ibu bapa Islam ) akan diazankan pada telinga  kanan bayi lelaki dan diqamatkan pada telinga kiri dan bayi perempuan sebagai tanda pengenalan terhadap pencipta yang sebenar.
    Tugas ini merupakan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Tindakan ini supaya fikiran dan hati anak-anak yang baru dilahirkan akan dapat menerima kasih sayang daripada AllahS.W.T Mudah-mudahan dengan perlaksanaan amalan ini, setiap bayi akan dapat mengingati pelajaran pertama sehingga ke akhir hayatnya.

    3.2  Pelajaran Peringkat Kedua
    Murid-murid saudara baru  akan diajar untuk berbuat baik kepada ibu bapa dan guru. Ketaatan juga ditegaskan  kepada ibu bapa dan guru agar mereka terus menyedari betapa pentingnya dan berjasanya kedua ibu bapa dan guru dalam hidup mereka. Sifat syukur terhadap Allah S.W.T sebagai pencipta akan diikuti dengan perasaan taat yang tidak berbelah bagi terhadap ibu bapa dan guru.

    3.3 Pelajaran Peringkat ketiga
    Balasan daripada Allah S.W.T terhadap semua tindakan semasa hidup diajar kepada murid-murid saudara baru. Penegasan terhadap kekuasaan Allah S.W.T dalam mengetahui apa sahaja yang diniatkan, diperlakukan dan diperkatakan oleh murid-murid saudara baru  diberitahu supaya mereka bersedia dengan pengajaran mengenai hari keadilan  dan pembalasan.


    3.4 Pelajaran Peringkat keempat
    Kewajipan murid-murid saudara baru untuk menunaikan solat sebanyak lima kali sehari akan ditekankan. Pengajaran diikuti dengan penekanan terhadap bacaan  dan hafalan al-Quran sebagai melengkapi dan menyempurnakan ibadat solat tersebut. Tanggungjawab guru  disini adalah mengajar anak didik mereka agar boleh membaca al-Quran dan berusaha untuk menghabiskan bacaan keseluruhan al-Quran  antara umur lapan hingga sepuluh tahum. Sementara ibadah seperti solat dan berpuasa itu pula boleh dipraktikkan seawal usia tujuh tahun.
    3.5 Pelajaran Peringkat Kelima
    Guru akan mendidik murid-murid saudara baru tentang perbuatan baik dan jahat. Mendidik  murid-murid saudara baru agar melakukan  perbuatan yang baik dan disukai Allah S.W.T dan melarang serta menjauhi perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.banyak membantu memupuk keperibadian Islam di jiwa mereka seawal usia.Penjelasan terhadap hak setiap murid-murid saudara baru untuk menyuruh ke arah kebaikan dan melarang perbuatan kejahatan ke atas setiap ahli dalam keluarga yang diberikan.

    3.6 Pelajaran Peringkat Keenam
    Sifat sabar dalam diri setiap murid-murid saudara baru diajar. Guru patut mendidik mereka baru agar bersabar ke atas setiap ujian Allah S.W.T dan dalam menempuhi kesusahan dan ketegasan dalam kehidupan. Mereka dididik dan diajar  agar menjauhi sifat berputus asa dan mengalah dalam perkembangan hidup.

    3.7 Pelajaran Peringkat Ketujuh
    Mendidik murid-murid saudara baru agar membuang perasaan angkuh dan takbur, sama ada terhadap Allah S.W.T atau sesama manusia. Mereka turut  didedahkan dengan keburukan dan kelemahan sekiranya mempunyai angkuh dan takbur dalam diri.

    3.8 Pelajaran Peringkat Kelapan
    Melarang murid-murid saudara baru daripada bersifat angkuh dan meninggi diri sebaliknya sentiasa merendah diri dan bersifat sederhana dalam segala hal. Mereka juga  dididik supaya bersifat merendah diri dalam hal-hal yang berkaitan dan tidak  bersifat keterlaluan dalam sesetengah hal, sebaliknya lebih bersifat sederhana.



    3.9 Pelajaran Peringkat Kesembilan
    Bersifat sederhana dalam kehidupan patut diajar kepada setiap murid-murid saudara baru. Perasaan ingin bersederhana sangat penting dalam kehidupan bagi memupuk sifat ikhlas dan reda.

    4.0 PENDEKATAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIDIKAN ISLAM
    Pendekatan dari segi konsep dalam pendidikan adalah cara mendekati sesuatu. Ianya merujuk kepada bagaimana cara sesuatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Dalam ayat lain pendekatan dalam bidang pendidikan pula merujuk kepada satu set teori pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada objektifnya dan pendekatan haruslah berlandaskan  kepada modal, prinsip atau teori pembelajaran.
                Justeru pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan sebagai medan dakwah kepada murid-murid saudara baru adalah di antaranya:
    i.                    Pendekatan Deduktif
    ii.                  Pendekatan Induktif
    iii.                Pendekatan Bersepadu
    iv.                Pemusatan Pelajar
    v.                  Bertema ( Thematic Approach)

    Pendekatan Deduktif didefinisikan sebagai suatu pendekatan mengajar yang
    bermula daripada satu atau beberapa rumus, prinsip , hukum atau peraturan diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Pendekatan deduktif ini juga boleh digunakan bagi memperolehi kesimpulan yang baru daripada rumus, prinsip, hukum atau peraturan yang telah diketahui  Contohnya kejadian alam semulajadi seperti awan, langit, gunung, laut dan sebagainya adalah ciptaan Allah S.W.T dan manusia tidak mampu untuk menciptakannya kerana keupayaan  dan kuasa manusia adalah terhad.

                Pendekatan Induktif  pula melibatkan aktiviti mengumpul dan menafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat kesimpulannya  yang mana guru memulakan pengajaranya dengan memberikan beberapa contoh yang khusus tetapi mengandungi satu prinsip yang sama . Justeru berdasarkan kepada contoh yang telah diberi , murid-murid saudara baru dibimbing memikir, mengkaji , mengenal pasti dan mentafsir maklumat yang terkandung dalam contoh-contoh khusus itu kemudian membuat kesimpulan yang berkenaan.


    Contohnya murid-murid saudara baru ini dikehendaki menyenaraikan nama- nama benda di sekeliling mereka seperti meja , kerusi, kipas,  lampu, tingkap, pintu , buku, pen , pensil dan sebagainya dirumuskan bahawa benda-benda yang disenaraikan dan dikumpulkan itu adalah hasil pembuatan manusia dengan Allah S.W.T mengurniakan akal fikiran kepada manusia untuk mencipta secara kreatif dan inovatif. Sementara guru pula haruslah membantu membimbing dan menghubungkait serta menggabungjalinkan benda-benda ciptaan manusia dan banding beza dengan hasil ciptaan Allah S.W.T.

                Pendekatan pengajaran seterusnya adalah pendekatan bersepadu yang membawa maksud melaksanakan semua unsur yang terdapat dalam kurikulum,  secara bercantum atau bersatu yang mana semua ilmu diajar dengan cara saling berkaitan di antara satu sama lain. Di bawah rancangan KSSR konsep kesepaduan diamalkan dalam penggunaan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Ini adalah bertujuan untuk menjalin  serta mengadunkan unsur-unsur ilmu, nilai, kemahiran belajar dan penggunaan bahasa yang baik.

    Contohnya dalam pelajaran wuduk tahap satu, murid-murid saudara baru sebelum mengambil wuduk dikehendaki membaca niat , pada asasnya pelajaran wuduk dalam konsep ibadah namun ianya boleh digabungjalinkan dengan akidah kerana niat merupakan asas penting dalam sesuatu kepercayaan dan amalan kepada Allah S.W.T maka tanpa niat tidaklah sah wuduk tersebut.Guru sewajarnya menerangkan secara jelas hubung kait dan gabung jalin antara aspek akidah (niat) dan ibadah (rukun).

                Pendekatan pengajaran keempat adalah pemusatan pelajar. Menerusi pendekatan pemusatan murid saudara baru , guru dan murid bersama-sama memainkan peranan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid aktif menyertai komunikasi berbentuk dua hala. Guru menyoal dan murid menjawab dan sebaliknya. Suasana kepimpinan adalah bersifat demokratik.

    Dalam pendekatan ini pencapaian objektif pembelajaran murid-murid saudara baru diutamakan. Pendekatan ini lebih menekankan perkembangan murid (dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek), pembelajaran kendiri , pengarahan kendiri, kaedah dapatan dan inkuiri penemuan, Selain itu pendekatan pemusatan pelajar  turut menekankan ujian formatif yang menggunakan hasil ujian untuk memperbaiki dan mengatasi kelemahan –kelemahan murud diasamping kefahaman dan bahan-bahan bermakna. Contohnya murid- murid saudara baru tahap satu (7-9 tahun)  diajar menghafal sifat-sifat Allah S.W.T seperti wujud,qidam, baqa’  dan seterusnya.



    Guru meminta murid-murid saudara baru ini menghafal secara lisan secara bergilir-gilir atau guru menyebut sifat Allah yang pertama, kemudian guru meminta murid saudara baru menyebut sifat Allah yang kedua dan selanjutnya.Guru memberi arahan secara berfokus atau berpusat dengan menumpukan kepada seseorang murid atau kumpulan dalam kelas.Dengan ini guru berupaya membantu murid-murid saudara baru bagi meneguhkan kemahiran mendengar,kemahiran menyebut/sebutan dan kemahiran mengingati/kognitif.
                Menerusi pendekatan pengajaran tersebut murid lebih berminat terhadap pelajaran yang dipenuhi aktiviti dan lebih berupaya menggunakan segala yang telah dipelajari serta memindahkan kepada situasi baru. Naluri ingin tahu dapat diperkembangkan lagi melalui kaedah seperti inkuiri dan penemuan. Dalam aspek ini murid-murid saudara baru sentiasa mempamerkan sifat-sifat sosial yng positif seperti  berkerjasama , bertimbang rasa, tolong menolong dan sebagainya.




                Pendekatan pengajaran yang kelima adalah pendekatan bertema ( Thematic Aproach) .Tema memberi maksud idea yang besar, dengan itu pengajaran tematik bermakna pengajaran yang dismpaiikan  melalui satu idea yang besar , Contoh-nya tema seperti solat perkara-perkara samiyyat, bersuci dan lain-lain.
    Pada kebiasaannnya satu-satu tema kemudiannya dipecahkan kepada komponen-komponen yang kecil. Dalam setiap komponen terdapat lagi topik-topik kecil yang dibincangkan. Contohnya bertemakan puasa Ramadan yang akan dibincangkan adalah sub topik seperti niat berpuasa Ramadan, rukun puasa, syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa. Dengan berdasarkan sesuatu tema; pengetahuan murid-murid saudara baru ini dapat dikembangkan secara komprehensif yang berkaitan dengan pelajaran puasa Ramadan.

    5.0 BAHAN –BAHAN DAN  PRINSIP-PRINSIP DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM
    Apabila mendidik dan mengajar serta diselitkan dengan mengukuhkan dakwah lslamiah kepada saudara baru beberapa prinsip Pendidikan Islam telah digunakan iaitu Prinsip dari  mudah kepada sukar/abstrak ( Minas Sahlah ila Syu’bah), Prinsip dari Dekat kepada yang Jauh  ( Minal Qarib ila Baid), Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul, Prinsip dari Dekat kepada yang Jauh ( Minal Qarib ila Baid), Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul), Prinsip  daripada  maujud kepada mujarad dan Prinsip daripada yang spesifik kepada yang umum ( Minal Khas ilal Am).

    Prinsip dari  mudah kepada sukar ( Minas Sahlah ila Syu’bah) bermaksud isi  atau kandungan yang akan disampaikan kepada murid-murid perlu ditingkatkan supaya yang mudah didedahkan kepada para pelajar sebelum yang susah diperkenalkan. Sebagai contoh manusia mencipta kereta atau motokar, manusia membina rumah, membuat kerusi meja tetapi Allah S.W.T mencipta angin,hujan,malam,bintang,matahari dan seumpamanya. lnilah kejadian dan fenomena alam yang patut mereka ketahui asal usul kejadian .Setiap yang ada atau wujud mesti ada si penciptanya. 

    Pemeringkatan  ini  penting  bagi tujuan supaya murid dapat mengikutinya secara beransur-ansur dan murid yang lemah akan dapat dikesan dan dibantu pembelajarannya. Dalam erti kata lain guru hendaklah sentiasa mengamalkan prinsip ini dalam semua pengajarannya supaya isi yang disampaikan berkesan dan mencapai objektifnya.

    Prinsip dari dekat kepada yang jauh ( Minal Qarib ila Baid). Prinsip ini menjurus kepada memberi bimbingan kepada pelajar untuk mengenali sesuatu topik dengan membawa contoh yang terdekat  dalam proses pembelajaran dan pengetahuan pelajar. Kebiasaannya pelajar berasa agak sukar memahami mata pelajaran akidah yang disampaikan oleh guru atau daripada buku teks. Justeru  guru mestilah kreatif dalam memberi contoh terdekat  dengan mudah serta pengetahuan dan pengalaman para pelajar sehingga dapat menghilangkan kekaburan dan kefahaman mereka.

    Dalam bidang ulum syariah ada baiknya contoh diberikan berdasarkan cara murid-murid bersolat atau mendirikan sembahyang.Ada murid-murid saudara baru ini yang telah pun mengalami amalan pengetahuan itu sendiri seperti solat lima waktu sehari semalam. Ini mungkin kerana ada murid-murid ini yang telah mempelajarinya daripada saudara tertua, rakan sebaya atau daripada ibu bapa mereka. Tetapi tidak dinafikan juga ada murid-murid atau ahli keluarga mereka yang tidak pernah solat.

    Penyampaian tajuk solat hendaklah dilakukan dari yang dekat kepada jauh seperti
    bermula dari memperkenalkan waktu solat fardu dan rakaatnya, niat dan cara mendirikan solat.Berdasarkan prinsip ini guru dapat menyusun langkah dan aktiviti yang sesuai serta kaedah dan teknik yang berkesan untuk memudahkan mencapai objektif pelajaran. Di dalam bilik darjah, semasa pengajaran menggunakan prinsip ini guru dapat mengesan kemampuan murid untuk memahami pelajaran ini dengan membuat penilaian lisan yang berterusan seperti soal jawab di samping penglibatan murid secara maksimum terutama dalam amali solat. Prinsip ini hendaklah diamalkan dalam pengajaran Ulum Syariah yang lain juga.

    Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui ( Minal ma’alum ilal majhul). Prinsip ini pula berperanan untuk menghubungkan pelajaran yang akan disampaikan dengan perkara yang berlaku dan berkaitan dengan pengalaman dan kehidupan setempat murid. Dalam hal ini guru akan melaksanakan  pengajaran dengan menyelidiki terlebih dahulu pengetahuan sedia ada murid yang mana semasa penerangan guru dimana-mana  langkah samada melalui soalan , gambar bahan dan sebagainya.

                 Guru sewajarnya mengaitkan pelajaran yang lalu dengan pelajaran yang baru juga berkaitan dengan prinsip justeru itu di dalam merancang isi pelajaran penyampaiannya juga hendaklah dirancang dengan mengamalkan prinsip dari yang diketahui kepada yang belum diketahui. Guru mengaitkan pengalaman baru dengan pengalaman sedia ada murid-murid saudara baru..

    Dalam pelajaran ulum syariah bagi mata pelajaran fekah, murid-murid-murid saudara baru telah pun tahu mengenai apakah erti wuduk atau mengambil air sembahyang. Sebahagian murid-murid saudara baru telah pun mengalami cara-cara mengambil wuduk dengan meniru perbuatan ibu bapa mereka. Prinsip ini memberi penekanan kepada amalan yang teratur yang mana bermula dari pengalaman yang ada pada murid dan dikembangkan kepada yang belum diketahui seperti guru memperkenalkan anggota wuduk yang wajib dan sunat, sempadan setiap anggota wuduk tersebut dan cara mengambil wuduk yang betul.Pengajaran berdasarkan prinsip ini akan berjaya mencapai objektifnya apabila guru menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai dan penglibatan pelajar dalam amali wuduk tersebut.

    Prinsip  daripada  maujud kepada mujarad bersandarkan daripada  sesuatu benda yang wujud dan boleh dipegang, dilihat dan dirasa membawa kepada sesuatu yang abstrak. Perkara yang abstrak ini memerlukan daya deria yang merangsang pemikiran untuk mengetahuinya dengan bukti-bukti yang wujud di sekitar murid-murid. Justeru menerusi rancangan pengajaran dan isi pengetahuan yang dikembangkan hendaklah berasaskan kepada pengetahuan sedia ada murid-murid; misalnya kewujudan benda-benda di persekitaran mereka.
    Dalam pelajaran tauhid misalnya guru mengajar mengenai kewujudan  Allah S.W.T itu wujud dan bukti kewujudan Allah ialah  wujudnya alam ini. Pengetahuan murid-murid yang sedia ada ialah  mereka mengetahu bahawa setiap benda yang ada pada mereka ada pembuatnya. Mereka tahu kerusi yang mereka duduk ada tukangnya, meja yang mereka gunakan ada pembuatnya, kereta yang mereka naiki ada kilang pengeluar dan pembuatnya malah baju yang mereka pakai ada tukang jahitnya, semuanya itu tidak terjadi dengan sendiri, begitu juga dengan alam ini seperti langit, bumi, sungai, lautan dan semua yang mereka nampak, pegang dan rasa penciptanya ialah Allah s.w.t. Alam ini tidak terjadi dengan sendirinya.
    Jika kita kagum dengan rekaan kereta yang canggih, rekaan alat-alat teknologi yang hebat tentulah pembuat dan perekanya hebat.Namun ketahuilah bahawa Allah S.W.T lebih maha hebat lagi kerana Allah telah mencipta manusia dan alam.Oleh yang demikian dengan menjalankan prinsip dari yang wujud kepada mujarad atau abstrak maka pengajaran dapat berjalan dengan lancar dan objektif dapat dicapai.





    Prinsip daripada yang spesifik kepada yang umum ( Minal Khas ilal Am)berperanan untuk membimbing pelajar mengenali  sesuatu tajuk pelajaran dengan menemukan bahagian-bahagian kecil secara beransur untuk disimpulkan menjadi satu fakta atau hukum dan peraturan yang mana bagi memastikan keberkesanannya.

    Perkembangan isi pelajaran ianya haruslah disusun berdasarkan sesuatu yang khusus kepada sesuatu yang umum. Oleh itu dalam pengajaran tersebut, pendekatan induktif dengan prinsip khusus kepada umum adalah berbeza, kerana prinsip ini lebih menekankan kepada perkembangan isi pelajaran untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Justeru  menerusi prinsip ini guru hendaklah memilih isi pelajaran yang tersusun dan sesuai serta mempunyai ciri-ciri khusus isi pelajaran .

    Contohnya sekiranya guru mengajar mengenai hadas kecil dan hadas besar, guru hendaklah menjelaskan dahulu ciri-ciri khusus hadas kecil atau hadas besar , sebelum membuat satu konsep atau  pengertian yang umum tentang ciri-ciri yang telah diterangkan.

    Guru perlu terlebih dahulu memberikan ciri-ciri hadas kecil  seperti kencing, najis binatang, buang air besar, darah dan sebagainya,Selepas itu barulah  guru memberi penjelasan berhubung topik yang berkaitan.

                Prinsip ini akan lebih merangsang murid untuk mengetahui perkembangan isi tersebut sehingga guru memastikan bahawa segala kaedah dan strategi pengajaran yang dijalankan bertepatan dan akhirnya objektif yang ditetapkan tercapai.

    KESIMPULAN

    Murid-murid atau kanak-kanak khususnya bagi murid-murid saudara baru sekolah rendah sama ada pada Tahap Satu (7-9 Tahun) dan Tahap Dua (10-12 tahun) merupakan anugerah yang sangat berharga. Justeru sewajarnya guru memberi didikan yang benar dan sempurna agar mereka berkembang menjadi seorang remaja dan dewasa yang menepati ciri-ciri sebagaimana yang dikehendaki oleh lslam.
    Guru sewajarnya juga sentiasa memastikan setiap murid-murid boleh mengingati dan memahami arahan dan ajaran yang disampaikan oleh guru. Misalnya dalam pelajaran tata cara berwuduk dan rukun-rukun dalam solat.Sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran berlangsung sudah tentu guru perlu memberi sepenuh perhatian ke atas setiap tingkah laku dan gerak balas murid-murid.Di samping itu wujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang penuh kasih saying dan mesra supaya murid-murid saudara baru ini  berasa seronok dengan subjek Pendidikan lslam dan tidak berada dalam situasi terpaksa.
    Sebagai penutup, guru Pendidikan lslam hendaklah sentiasa turut serta bersama murid-murid saudara baru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Dan yang lebih berkesan, guru hendaklah sentiasa memberikan contoh yang positif sebagai model untuk mereka ikuti sama ada dari sudut bahasa, berpakaian,sikap, perlakuan mahupun penonjolan afektif.Mudah-mudahan kemahiran dan kebijaksanaan guru mengenal pasti ekspresi muka dan gerak badan murid-murid seperti ini akan menjalinkan kesefahaman dan kekal jiwa dan roh lslam untuk selama-lamanya. (sumber tulisan: oleh DR RAJIEE HADI & NORUMAZA HASHIM)@ Hakcipta Terpelihara.

     Bibliografi
    Al-Quran al- Karim
    Abdullah Basmih. 1985, Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada pengertian Al-Quran, Kuala
    Lumpur :Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri.
    Ahmad Mohd. Salleh, 1997 Kuala Lumpur : Pendidikan Islam, Asas Dinamika Guru Jld 1,
    Penerbit fajar Bakti.
    Atan Long. 1981, Pedagogi-Kaedah Am Mengajar, Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn.Bhd.
    Fariza Md. Sham dll. 2006,Dakwah dan Kaunseling Di Malaysia, Penerbit Universiti
    Kebangsaan Malaysia.
    Ghazali Daruslam. (2001), Pedagogi Pendidikan Islam, Kajang, Utusan Publications &
    Distributors Sdn. Bhd.
    Mohd Nashuha Jamidin. 1995, Kemahiran Berfikir dan Belajar , Shah Alam : Fajar Bakti
    Sdn. Bhd.
    Nur Raudah Hj. Siren dll.(2006),Dakwah Islam Semasa, Konsep dan Perlaksanaan,Penerbit
    Universiti Malaya.

    Latar Belakang Ringkas Penulis:

    Dr Rajiee Abdul Hadi yang juga terkenal dengan nama pena 'Rajiee Hadi' dalam bidang penulisan khususnya penulisan kreatif: puisi & cerpen ialah mantan Pensyarah Kanan di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Bandar Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam.Beliau pernah menjawat Ketua Unit Profesional Pembangunan Keguruan di Jabatan Penyelidikan, Maktab Perguruan lslam (kini IPGM), Bangi, Malaysia dan Ahli Panel Penggubal Soalan M-Test Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.Beliau juga pernah menjawat sebagai pensyarah sambilan di UNITEN dan UPM Malaysia.Bidang kepakaran beliau dalam pendidikan ialah metodologi pengajaran,komunikasi bahasa dan psikologi sastera.Kini beliau berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di firma perundingan pendidikan & keluarga.

    Ustazah Norumaza Hashim berkhidmat hampir 10 tahun sebagai guru siswazah di sekolah rendah Kementerian Pelajaran Malaysia.Sebelum itu beliau berkhidmat selama 5 tahun sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kelantan Darul Naim, Malaysia.Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Usuluddin (kepujian) di Universiti Malaya,Kuala Lumpur dan Diploma Pendidikan lslam (cemerlang) daripada Maktab Perguruan lslam,Bangi, Malaysia.Kini beliau sedang menyiapkan tesis Sarjana Pendidikan dalam bidang kaunseling lslam di Universiti Kebangsaan Malaysia,Bangi, Malaysia.

    Pedagogi Bestari

    Pedagogi Bestari

    1.0 STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM PEDAGOGI BESTARI

    Pembelajaran secara direktif bermaksud, murid-murid belajar melalui penerangan tentang konsep / kemahiran oleh guru dan diikuti oleh ujian kefahaman dan latihan yang dibuat dengan bimbingan guru. Contoh strategi-strategi pengajaran yang boleh digunakan oleh guru ialah kuliah dan latih-tubi. Bagi elemen pembelajaran secara mediatif pula, murid-murid diajar oleh guru untuk mengaplikasikan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mengenalpasti andaian dan menilai kebenaran andaian, keputusan dan hipotesis. Contoh-contoh aktiviti pengajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam pendekatan mediatif ialah seperti penaakulan dialektual, pemerolehan konsep, pembentukan konsep, latihan inkuiri dan perbincangan terbuka.

    Dalam strategi generatif, guru akan menggalakkan murid menjanakan idea-idea kritis dan kreatif. Strategi ini membantu murid-murid menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif dengan menggunakan idea-idea yang asli dan unik. Contoh-contoh aktiviti sumbangsaran yang boleh digunakan oleh guru ialah seperti pemetaan minda, pemikiran lateral dan kreatif. Dalam pendekatan pemerhatian, murid-murid diajar mengikuti perbuatan guru atau memodelkan perlakua sesuatu kemahiran. Contoh aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam kaedah pemerhatian ialah tunjuk cara. Untuk strategi yang seterusnya, guru boleh menggunakan kaedah kontekstual yang mengaitkan bahan pengajaran dan pembelajaran kepada situasi dunia yang sebenarnya. Kaedah ini memotivasikan murid-murid untuk membuat kaitan antara ilmu pengetahuan dengan pengaplikasiannya kepada kehidupan mereka sebagai ahli keluarga dan rakyat.

    Pembelajaran kontekstual penting kerana ia mengaitkan pembelajaran kepada realiti kehidupan. Jenis pembelajaran lain yang boleh dikaitkan kepada pembelajaran kontekstual ialah pembelajaran ’eksperential’, pengalaman hidup sebenar, pembelajaran aktiviti dan pembelajaran berpusatkan murid. Pembelajaran ini mementingkan penyelesaian masalah. Ia memberikan pengakuan bahawa situasi pengajaran dan pembelajaran boleh berlaku juga di dalam rumah dan masyarakat. Ia mengajar murid untuk memantau dan mengarah pembelajaran sendiri supaya mereka lebih berdikari. Prinsip-prinsip penting dalam pembelajaran kontekstual ialah seperti guru menggalakkan murid untuk belajar daripada satu sama lain, guru menggunakan penilaian sebenar, pembelajaran kontekstual bergantung kepada ingatan spatial guru dapat menyepadukan mata pelajaran-mata pelajaran yang berlainan dan penilaian autentik melalui pengalaman praktikal.

    Dalam strategi metakognitif, murid-murid memikirkan tentang proses
    pembelajaran, rancangan pembelajaran, pemantauan dan penilaian kendiri. Contoh-contoh soalan yang boleh diberikan oleh guru kepada murid-muridnya dalam strategi metakognitif ialah Apakah yang saya telah belajar? Bagaimana saya boleh mempertingkatkan prestasi saya? Apakah bantuan yang saya perlu? Murid-murid dapat mempraktikkan strategi metakognitif semasa mereka menjalani latihan praktikum atau membuat journal refleksi. Pemikiran metakognitif ialah pemikiran aras tinggi yang boleh dipraktikkan oleh murid-murid

    Kaedah konteks luar ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru di luar bilik darjah atau di makmal sains. Dalam kaedah ini, peranan guru sebagai seorang fasilitator di mana dia akan cuba menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh murid. Guru akan memberikan satu aktiviti penyelesaian masalah dan murid mesti berada di luar bilik darjah untuk menyelesaikan masalah ini. Selepas menyelesaikan aktiviti yang diberikan oleh guru, murid akan menyediakan laporan secara individu atau mengikut kumpulan.

    Dalam kaedah kajian masa depan, guru membolehkan murid-murid mengambil bahagian dalam penciptaan masa depan. Dalam konteks persekolahan, kajian masa depan adalah amat penting untuk golongan remaja dan murid. Kaedah ini dapat membantu murid untuk melihat manusia berfikiran jauh dan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Dua prinsip dalam kajian masa depan ialah masa depan sahajalah merupakan ruang di mana kita mempunyai kuasa atau pilihan untuk bertindak atau melakuka sesuatu, terdapat bukan hanya satu masa depan tetapi beberapa dan pelbagai masa depan. Oleh itu, pemilihan soalan kajian masa depan perlu dilakukan dengan beretika dan bertanggungjawab oleh guru. Contoh-contoh soalan yang boleh dikemukakan oleh guru dalam kaedah ini ialah seperti bagaimana keadaan lalu lintas pada satu hari nanti di Malaysia? Apakah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku pada masa depan? Apakah kesan-kesan daripada penebangan hutan? Guru boleh menanya soalan sama ada murid pernah melihat hutan? Apakah yang akan berlaku pada haiwan-haiwan bila hutan ditebang dan apakah akibat-akibatnya apabila tiada lagi
    tumbuhan hijau di dunia?

    Pendekatan koperatif berasaskan konsep di mana murid-murid belajar secara kumpulan dan berbincang secara koperatif. Dalam kaedah ini, murid-murid dapat berinteraksi dan saling membantu dalam aktiviti pembelajaran. Langkah-langkah dalam pembelajaran koperatif ialah seperti guru sampaikan pelajaran baru, murid-murid membentuk kumpulan untuk membincangkan secara koperatif, ujian dijalankan untuk mengesan kemajuan dan pencapaian murid dalam setiap kumpulan. Peneguhan sosial diberikan kepada kumpulan yang beprestasi cemerlang. Murid membentuk kumpulan untuk membincangkan secara koperatif. Ciri-ciri pembelajaran koperatif adalah seperti, murid-murid melibatkan diri secara aktif, murid dilatih dengan akauntabiliti diri dan bertanggungjawab sesama ahli kumpulan, kemahiran dan interaksi sosial dapat dipupuk dan murid-murid sedar tentang kebaikan pembelajaran ini. Prosedur pengajaran dan pembelajaran dalam kaedah koperatif ialah seperti guru mengajar satu unit kaedah pembelajaran, murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mencapai objektif pembelajaran, guru membimbing dengan kaedah-kaedah dan teknik-teknik yang sesuai, murid mengikuti bimbingan guru, murid-murid berusaha bersama-sama dalam kumpulan mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan.

    Mengikut Kamus Dewan (1998), kolaboratif bermaksud kerjasama erat di antara dua pihak atau lebih. Pendekatan kolaboratif melibatkan sekumpulan murid yang berusaha bersama ke arah mencapai prestasi yang cemerlang sama ada bidang akademik & ko-kurikulum. Melalui pembelajaran ini, keberkesanan pembelajaran dapat ditingkatkan nilai sosial & kerjasama dapat dipupuk dengan baik serta masalah disiplin dapat dikurangkan ke tahap yang minima. Pembelajaran koperatif & kolaboratif mempunyai ciri-ciri yang hampir sama di mana kedua-dua kaedah ini menekankan semangat kerjasama antara ahli kumpulan.

    2.0 PENGINTEGRASIAN KEMAHIRAN GENERIK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

    Kemahiran generik amat penting dalam membantu meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran guru terhadap murid.Pengintegrasian dapat ditakrifkan sebagai pengabungan manakala kemahiran generik pula telah dikupas dan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kemahiran berfikir,Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Kemahiran Pemudahcaraan.

    Untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif guru perlu menggabungkan kemahiran generik supaya ia lebih berkesan.Kemahiran berfikir dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Strategi berfikir,kemahiran berfikir dengan kritis dan kreatif serta yang terakhir kemahiran berfikir menaakul.Kemahiran berfikir kritis dapat dihuraikan sebagai kebolehan untuk menilai kemunasabahan sesuatu idea dan ia bersifat evaluatif.Strategi berfikir pula dapat ditakrifkan sebagai proses berfikir yang lebih tinggi peringkatnya dan mengandungi beberapa langkah melibatkan beberapa kemahiran berfikir kritis dan kreatif. Kemahiran berfikir menaakul dapat didefinisikan sebagai kemahiran berfikir membantu kita sebagai pelincir dalam membuat perkembangan secara rasional kepada semua kemahiran berfikir dan strategi berfikir.

    Kemahiran berfikir secara kritis banyak menggunakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti membandingkan dan membezakan ,mengumpul dan mengelaskan, mencirikan, membuat urutan, menganalisis, mengesan kecondongan ,menilai serta membuat kesimpulan.Seterusnya kemahiran berfikir kreatif pula banyak mementingkan aspek seperti menjanakan idea ,membuat inferens, membuat hubungkaitan, meramal, membuat hipotesis, mesinfesis, membuat analogi, membuat gambaran mental, merekacipta Strategi berfikir terdiri kemahiran mengkonsepsi, menyelesaikan masalah , membuat keputusan, kemahiran menaakul.

    Kemahiran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi dapat melatih murid-murid supaya mahir menggunakan teknologi komputer masa kini untuk menguasai mengikut perkembangan konsep “world class education”.Tujuan kemahiran ini diajar ialah unutk menghasilkan tenaga kerja yang mahir bidang sains dan teknologi serta dipandang tinggi oleh masyrakat serta seluruh dunia. Untuk merealisasikan impian ini pihak sekolah perlu menyediakan kemudahan agar semua murid tidak ketinggalan mempelajari kemahiran ini.Ketika mengajar kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi guru mesti guna penilaian “on-going” dan “on-line” kerana ia lebih mudah dan sistematik serta menunjukkan kecanggihan teknologi maklumat masa kini.

    KEMAHIRAN PEMUDAHCARAAN ini amat penting dalam aktiviti perbincangan dan ia merupakan satu proses yang memudahkan sesuatu perbincangan.Dari segi bidang pendidikan ia merupakan satu proses yang menggerakkan aktiviti pembelajaran murid-murid.Di dalam kaedah ini terdapat seorang pemudahcara yang dipanggil fasilitator.Perkataan “facilite” juga membawa maksud memudahkan, menyenangkan pelancaran sesuatu proses.Melalui kaedah ini peranan guru dapat dikurang tetapi peranan murid dititikberatkan.Guru menjadi sebagai “guide” dalam pengajaran dan pembelajaran serta dapat melicinkan segala proses dan aktiviti pengajarn dan pembelajran yang berlaku. Komponen yang terdapat dalam pemudahcaraan ialah menententukan struktur perbincangan seterusnya perlu mengetahui teknik memulakan perbincangan yang baik serta guru perlu bimbing murid buat rumusan dan cadangan pada hujung sesi pemudahcaraan.Kelebihan kemahiran ini dapat dilihat dari segi penglibatan diri murid dengan aktif serta murid lebih bersedia awal untuk mempelajari sesuatu topik.dalam kaedah ini juga terdapat kelemahan yang tidak dapat dielakkan iaitu murid kurang komunikasi dan berinteraksi dengan guru.